Suasana pilihan raya Pilihan_raya_kecil_Kuala_Terengganu_2009

Kawalan keselamatan

Bagi memastikan perjalanan pilihan raya berjalan lancar, 6000 anggota polis ditugaskan di Kuala Terengganu. Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman menyatakan pegawai dan anggota polis daripada Unit Udara, Pasukan Gerakan Am, Pasukan Gerakan Khas, Unit Tindakan Khas (UTK), Unit Tindakan Ringan (LSF), Unit Pencegahan Rusuhan (PORU) dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) akan memastikan tiada kegiatan jenayah dan pergaduhan terutama pada hari penamaan calon sehingga hari pengundian pada 17 Januari 2008.[9]

Penamaan calon

Dalam proses penamaan calon tersebut, Wan Ahmad Farid telah dicadang oleh Ketua Pemuda UMNO Terengganu Mohd Sabri Alwi dan disokong oleh Setiausaha Agung MCA Datuk Wong Foon Meng. Calon PAS, Mohd Abdul Wahid, yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam selama lima penggal sejak 1990, tiba di pusat penamaan calon pada 9.10 pagi. Beliau diiringi Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Mohd Abdul Wahid dicadangkan oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Mustafa Ali dan disokong oleh Md Azmi Lok Yusof.

Calon Bebas Azharudin melakukan kejutan apabila mengemukakan borang pencalonan sedangkan sebelum ini beliau tidak pernah menyatakan hasrat untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu. Kehadiran Azharudin, di pusat penamaan itu pada pukul 9.27 pagi tidak disedari sehingga beliau menyerahkan borang pencalonan itu. Azharuddin, seorang ahli perniagaan, telah dicadangkan Ahmad Affendi Shah Mamat @ Adam dan disokong oleh Zakaria Abdullah.

Isma Airfath Hassanuddin yang sebelum ini mengumumkan hasrat untuk bertanding sebagai calon Bebas serta mendedahkan strategi kempennya termasuk menggunakan dikir barat, bagaimanapun tidak muncul di pusat penamaan calon hari ini. Calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) Harun @ Ab Rahman Mohamad, yang juga sebelum ini menyatakan hasrat untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu, tiba di pusat penamaan calon itu pada 9.20 pagi, tetapi membuat keputusan untuk tidak menyerahkan borang penamaan calon.[10]

Kempen pilihan raya

PAS memainkan isu royalti minyak Petronas manakala BN memainkan isu hudud yang ditentang oleh DAP sebagai isu terbesar. Pada 16 Januari 2009, wang tunai RM300 telah diedarkan kepada beberapa wartawan yang bertugas di pusat media Jabatan Penerangan di Kuala Terengganu. Mereka terlebih dahulu diminta oleh seorang kakitangan pusat media itu, supaya menulis nama, pertubuhan media dan nombor telefon pada sekeping kertas, sebelum diberi sampul surat berwarna putih yang mengisi enam keping wang RM50.[11]

PAS menggesa SPR menggugurkan Datuk Mat Razali Kassim daripada terus menguruskan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu atas alasan Pengurus Pilihan Raya itu telah 'menyalahgunakan' kedudukan beliau untuk mempengaruhi kakitangannya supaya mengundi Barisan Nasional. Selain itu, PAS juga mendakwa SPR telah bekerjasama dengan JPN dalam usaha menyediakan pengundi hantu. Namun semua dakwaan itu telah dinafikan oleh pihak BN.[12]

Barisan Nasional berkempen menggunakan pendekatan usaha kerajaan dalam pembangunan untuk rakyat. BN menjanjikan royalti minyak berjumlah RM 3 billion buat kerajaan negeri Terengganu.[13] BN menggelarkan PAS sebagai 'Dok Rok Chetong' bertujuan menggambarkan PAS sebagai lemah kerana tunduk kepada DAP mengenai isu hudud.[14]

Pendekatan calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam, berlainan dengan dua pesaingnya ketika kempen pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu kerana tiada ceramah dan perhimpunan. Beliau berkempen dengan berjumpa pengundi dari mulut ke mulut.[15]

Hari pengundian

Sebanyak 143 saluran di 36 pusat mengundi dibuka mulai pukul 8 pagi 17 Januari 2009 bagi membolehkan 80,229 pengundi menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu. Pusat-pusat pengundian itu terletak di Pusat Pengajian al-Quran dan Fardu Ain Yayasan Islam Terengganu di Jalan Hiliran, sekolah menengah dan kebangsaan serta dewan orang ramai di sekitar bandar raya tersebut.[16]

Wan Ahmad Farid merupakan pengundi pertama yang menunaikan tanggungjawab itu di Sekolah Kebangsaan Pusat Bukit Besar, Kuala Terengganu pada pukul 8.02 pagi. Mohd Abdul Wahid pula mengundi di Sekolah Kebangsaan Pusat Chabang Tiga pukul 8.07 pagi. Calon bebas Azharudin Mamat atau Adam bagaimanapun tidak mengundi di kawasan Parlimen itu kerana beliau merupakan pengundi berdaftar di Parlimen Petaling Jaya Utara.[17]

Rujukan

WikiPedia: Pilihan_raya_kecil_Kuala_Terengganu_2009 http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php... http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php... http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php... http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php... http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php... http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php... http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php... http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newspolitic.p... http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newspolitic.p... http://malaysiakini.com/news/94147